Persidangan UMNO Cawangan Penting Kukuhkan Akar Tunjang Parti – Norliza

 

TAPAH, 10 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim menyeru seluruh ahli UMNO agar melaksanakan persidangan cawangan dengan penuh tertib dan semangat perpaduan demi memperkukuh akar tunjang parti.

Beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata, musim mesyuarat cawangan yang merupakan agenda tahunan parti perlu dimanfaatkan sebaiknya sebagai wadah untuk menyuarakan pandangan dan cadangan demi kelangsungan UMNO.

“Saya mengambil kesempatan ini ingin mengucapkan selamat bersidang, selamat bermesyuarat kepada semua ahli UMNO khususnya Wanita UMNO di cawangan-cawangan. Mesyuaratlah dengan baik, tertib, berilah pandangan-pandangan yang bernas dan boleh parti ambil untuk memastikan bahawa parti akan dapat mempraktikkan kelangsungan parti dapat dimantapkan lebih baik.

“Ingatlah bahawa UMNO adalah sebuah parti yang akar dan tunjang begitu kuat. Kekalkan UMNO dan kami di atas ini ada kerana anda di bawah. Mesyuarat dengan sebaik dan doakan agar mesyuarat dapat berjalan dengan selesa, baik dan harmoni.

“Adalah penting sebagai sebuah parti yang begitu besar, akarnya perlu kukuh dan kuat. Pastikan mesyuarat cawangan ini dapat dijalankan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Mengambil keberkatan bulan Syawal, Norliza turut menggalakkan ahli-ahli parti memperkukuh silaturahim semasa berlangsungnya mesyuarat.

“Gunakanlah bulan Syawal yang mulia untuk bermesyuarat dan mengikatkan serta merapatkan silaturahim terutamanya di peringkat cawangan, bahagian dan pusat.

“Biarlah ia menjadi medan yang terbuka kepada semua ahli untuk menyuarakan pandangan dan hasrat serta masalah dalam cawangan, sementara di peringkat atas ini dapat mencari penyelesaian yang terbaik untuk parti UMNO,” katanya lagi.

Persidangan UMNO peringkat Cawangan berlangsung dari 7 April hingga 25 Mei 2025, diikuti dengan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian yang dijadualkan antara 9 Jun hingga 27 Julai 2025.

Seterusnya, Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan dari 20 Ogos hingga 23 Ogos 2025. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit