Pelantikan GGM Baharu SEDCO, UMNO Sabah Tuntut Penjelasan
KOTA KINABALU, 10 April – UMNO Sabah menyuarakan kebimbangan terhadap arah tuju Sabah Economic Development Corporation (SEDCO) yang disifatkan semakin menyimpang daripada semangat asal penubuhannya ekoran pelantikan Datuk Ar. James Wong sebagai Pengurus Besar Kumpulan (GGM) baharunya.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, walaupun James Wong mempunyai latar belakang profesional dan pengalaman dalam pembangunan negeri, pelantikan tersebut telah mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat, terutamanya Bumiputera Sabah yang melihat ia sebagai suatu langkah yang mengenepikan bakat tempatan.
“Isunya bukan soal perkauman, tetapi soal prinsip dan maruah institusi. SEDCO ditubuhkan pada tahun 1971 untuk memperkasa penglibatan ekonomi Bumiputera Sabah.
“Apabila anak jati yang berpengalaman diketepikan, ini memberi mesej bahawa usaha membina kapasiti mereka tidak dihargai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mempersoalkan ketelusan proses pelantikan tersebut dan mendakwa ia dibuat tanpa penjelasan terbuka kepada rakyat.
“Adakah kita kini menuju ke arah pentadbiran yang terputus daripada sensitiviti dan sejarah negeri ini? GLC negeri sepatutnya menjadi instrumen pembangunan ekonomi rakyat, bukan medan percaturan kuasa elit,” tegas beliau.
Sehubungan itu, Suhaimi menggesa Kerajaan Negeri Sabah untuk memberikan penjelasan penuh mengenai pelantikan tersebut, selain mencadangkan agar satu pelan pembangunan kepimpinan dalam GLC negeri yang memberi tumpuan kepada pembinaan bakat Bumiputera Sabah dirangka.
Beliau turut mencadangkan penubuhan jawatankuasa bipartisan untuk mengkaji semula dasar pelantikan GLC bagi mengelakkan krisis kepercayaan rakyat pada masa hadapan.
“Kami tidak menolak pelantikan ini kerana individu, tetapi kerana prinsip. SEDCO adalah lambang harapan ekonomi rakyat Bumiputera. Jangan biarkan simbol ini kehilangan makna,” katanya. – UMNO Online