PRK: Semangat Kebersamaan Jentera Penting Untuk Kemenangan BN – Rais Yasin

TAPAH, 9 April – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin menegaskan bahawa semangat kebersamaan dalam kalangan jentera parti amat penting dalam memastikan kesiapsiagaan dan kemenangan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Ayer Kuning.

Beliau berkata demikian ketika hadir dalam sesi Perjumpaan dan Taklimat Jentera Negeri Melaka/Bahagian Angkat Lumut bersama Ketua 4 Peringkat Cawangan-Cawangan PDM Ayer Kuning yang berlangsung di Bilik Gerakan PDM Ayer Kuning pada Isnin.

“Saya amat berbesar hati kerana diberi ruang untuk menyampaikan ucapan bagi menyuntik semangat juang kepada seluruh jentera Negeri Melaka serta UMNO Bahagian Lumut di PDM Ayer Kuning. Perpaduan dan kekuatan semangat berpasukan menjadi nadi kemenangan kita,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput.

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka,Senator Datuk Mustafa Musa; Bendahari UMNO Negeri Melaka, Datuk Mohd Ridhwan Ali; Pengarah War Room UMNO Melaka, Datuk DW Haji Hasnoor dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Norzaman Man.

Majlis turut disertai oleh kepimpinan UMNO dari setiap Bahagian di Melaka serta jentera dan pemimpin Cawangan UMNO 4 Peringkat di PDM Ayer Kuning.

Datuk Rais turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan sesi tersebut dan mendoakan agar perjalanan kempen diberkati serta membuahkan kejayaan buat BN. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit