PRK Ayer Kuning: Calon BN Bersesuaian, Tepat… Bakal Beri Manfaat Untuk Rakyat

TAPAH, 9 April – Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berpandangan bahawa calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning adalah bersesuaian dan bertepatan dengan demografi penduduk di kawasan tersebut.

Ini kerana katanya, Dr Ustaz Yusri Bakri mempunyai latar belakang agama dan pendidikan yang ternyata dilihat mampu memberikan manfaat kepada masyarakat sekitar kawasan tersebut.

“Alhamdulillah, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah melancarkan Jentera BN sebagai persiapan untuk menghadapi PRK DUN Ayer Kuning pada kali ini.

“BN telah memilih Dr Ustaz Yusri Bakri untuk mewakili parti di PRK Ayer Kuning. Saya rasa ia satu pilihan terbaik melihatkan beliau mempunyai latar belakang agama yang begitu kuat dan akademik. Pada saya beliau bersesuaian dan bertepatan dengan demografi penduduk di Ayer Kuning ini.

“Jadi, kita mendoakan agar beliau dapat kita sama-sama nobatkan sebagai ADUN Ayer Kuning selepas ini. Saya yakin bahawa rakyat di kawasan ini akan memilih beliau kerana latar belakang yang baik. Cara Dr Ustaz Yusri Bakri berucap juga menunjukkan bahawa beliau mempunyai visi dan misi yang terbaik untuk kawasan ini,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, sekiranya BN diberikan peluang lagi sekali untuk mentadbir DUN Ayer Kuning, sudah semestinya segala agenda yang telah direncana sebelum ini dapat dilaksanakan di kawasan tersebut.

“Kalau kita dapat lihat trek rekod ADUN sebelum ini iaitu allahyarham Ishsam Shahruddin, beliau telah memberi perkhidmatan yang begitu baik untuk DUN Ayer Kuning. Sekiranya BN diberi peluang dan menang besar di kawasan ini, maka segala agenda ataupun perancangan yang telah dibuat dapat disambung agar kawasan DUN Ayer Kuning ini akan membangun dengan lebih pesat.

“Kita juga dapat melihat parti-parti di bawah Kerajaan Perpaduan berkumpul bersama-sama dalam majlis pelancaran jentera, menunjukkan satu sokongan padu kepada calon BN. Terima kasih saya ucapkan juga kepada rakan-rakan di bawah BN seperti MIC, MCA, Friends of BN. Terima kasih kerana tanpa sokongan semua agak sukar untuk kita bekerja.

“Jadi, apabila kita mendapat satu sokongan yang begitu mantap, saya yakin bahawa Dr Ustaz Yusri Bakri akan dapat diberi kemenangan besar pada PRK DUN Ayer Kuning pada kali ini. Insya-Allah,” katanya lagi.

Terdahulu Dr Ustaz Yusri Bakri, 54, telah diumum sebagai calon BN untuk PRK DUN Ayer Kuning.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN yang berlangsung di sini, pada Isnin.

Beliau merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah dan berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh.

Yusri juga merupakan lulusan Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari UPSI dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April ini.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit