Inilah Masanya Semua Kembali Bersama Di Bawah Panji UMNO/BN – Jafry Ariffin
KOTA KINABALU, 9 April – UMNO Sabah menyambut baik kemasukan semula bekas Setiausaha PPBM Sabah ke dalam UMNO, dalam satu perkembangan yang disifatkan sebagai langkah positif ke arah penyatuan semula kekuatan politik demi masa depan negeri.
Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin dalam kenyataan berkata, kepulangan tokoh politik berkenaan bukan sahaja mencerminkan kekuatan UMNO sebagai parti keramat orang Melayu dan Bumiputera, malah memperkukuh tekad seluruh saf kepimpinan untuk terus mara bersama rakyat Sabah.
“Saya mengalu-alukan kemasukan semula tersebut. Kepulangan ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan UMNO malah memperkukuh tekad kita untuk terus mara bersama demi rakyat dan negeri Sabah tercinta,” kata beliau.
Jafry yang juga ADUN Sukau turut mengulangi seruan yang pernah disuarakan oleh Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak agar semua pihak yang pernah bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) agar kembali bersatu di bawah panji parti keramat itu.
“Inilah masanya untuk kita semua kembali bersatu di bawah panji UMNO dan BN. Seruan ini jelas kerana hanya UMNO dan BN terbukti mampu mengembalikan kestabilan politik negara yang sekian lama terjejas, di samping menjamin kesinambungan pembangunan yang mampan dan inklusif,” ujarnya.
Menurut beliau, rakyat sudah lama melihat kesan buruk akibat perpecahan politik yang hanya merugikan negeri dan mengganggu agenda pembangunan untuk Sabah.
“Kita telah melihat bagaimana perpecahan hanya merugikan rakyat. Justeru, saya dengan rasa penuh hormat memohon kita hentikan segala perbezaan dan kembali memperkukuh saf perjuangan,” katanya.
Dalam pada itu, ujarnya, UMNO Sabah turut menjemput mana-mana sahabat lama yang pernah bersama parti untuk kembali menyumbang tenaga dan pengalaman dalam memperkasakan semula perjuangan demi rakyat Sabah.
“UMNO Sabah menjemput sahabat handai yang pernah bersama untuk kembali ke pangkuan UMNO. Bersama kita kuatkan semula asas perjuangan demi masa depan generasi akan datang,” tambah beliau lagi. – UMNO Online