Tiada Kompromi, Tiada Tempat Untuk Pembuli… Dr Asyraf Tegas Tiada Peluang Kedua

KUALA LUMPUR, 8 April – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan tiada kompromi dan tiada tempat untuk pembuli di mana-mana Institut Pendidikan MARA (IPMA).

Dr Asyraf juga tidak bersetuju jika mereka yang terlibat dalam aktiviti buli diberikan peluang kedua kerana dari awal diamanahkan sebagai Pengerusi MARA, beliau berulang kali mengingatkan dan tegas dengan prinsip #YouTouchYouGo.

“Tiada kompromi dan tiada tempat untuk pembuli dan apa jua bentuk budaya buli di mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) termasuk MRSM.

“Tidak kira anak sesiapa sekalipun, Tan Sri, Datuk hatta anak orang berpengaruh macam mana sekalipun, jika terlibat dalam buli, tindakan tegas dan keras akan diambil.

“Tidak perlu cari jalan untuk bertemu saya bagi maksud merayu. Pejabat saya tidak sesekali melayani pelaku-pelaku yang melanggar prinsip kemanusiaan seperti ini,” kata Dr Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO dalam komen di status Facebooknya.

Terdahulu di statusnya, Dr Asyraf memberi respon mengenai isu buli di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di utara tanah air bahawa Jawatankuasa Disiplin Maktab memaklumkan seramai tujuh pelajar didapati terlibat; dua terlibat buli fizikal dan lima bersubahat.

Jawatankuasa tersebut telah memutuskan dan mengesyorkan semuanya ditamatkan pengajian dari MRSM.

Terkini di akaun X Dr Asyraf @drasyrafwajdi, beliau memaklumkan sebagaimana laporan yang diterima daripada pegawainya, pelajar-pelajar terbabit sudahpun pulang ke pangkuan keluarga masing-masing semalam dan hari ini. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit