Sokong Tindakan Tegas MARA, Mohd Zaidy Seru Semua Pihak Perangi Buli
JEMPOL, 8 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir memandang serius terhadap insiden buli yang berlaku di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), seperti yang dilaporkan media baru-baru ini dan diumumkan oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) yang menamatkan pengajian tujuh pelajar terbabit iaitu dua pelajar terlibat secara fizikal dan lima lagi kerana bersubahat.
Langkah tersebut menurutnya, mencerminkan ketegasan MARA dalam memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terus terpelihara.
“Sebagai seorang pemimpin masyarakat dan juga ibu bapa, saya menyokong penuh tindakan ini. Budaya buli mesti dibanteras dari peringkat akar umbi agar institusi pendidikan kekal sebagai tempat yang selamat, membina sahsiah dan mencorak masa depan anak-anak kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Zaidy turut menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, guru-guru, dan masyarakat untuk memainkan peranan masing-masing dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang bebas daripada keganasan, tekanan dan ketakutan.
“Buli bukan budaya kita. Kita bentuk generasi berakhlak, bukan menakutkan,” tambah beliau lagi.
Insiden buli yang menggemparkan itu mencetuskan reaksi pelbagai pihak dan mendorong MARA mengambil tindakan pantas demi menjaga integriti institusi pendidikan tersebut.
Terdahulu tular video berdurasi 1.31 minit memaparkan seorang pelajar lelaki dibuli beberapa rakannya di mana kepala dan badannya dihenyak selain dilibas menggunakan tali pinggang.
Susulan insiden tersebut, polis membuka satu kertas siasatan dan mengesan lokasi institusi terlibat dan semua individu yang dilihat dalam video berkenaan untuk dirakam keterangan. – UMNO Online