Manfaatkan Persidangan Untuk Selami Cabaran Semasa Parti – MKT UMNO

KUALA LUMPUR, 8 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin mengucapkan selamat bersidang kepada perwakilan UMNO Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri di seluruh negara.

Menurut beliau persidangan yang bermula 7 April sehingga 25 Mei depan adalah platform sebaiknya dalam usaha memastikan parti terus mengorak langkah ke depan berasaskan realiti politik semasa.

“Persidangan tahunan tentunya macam biasa memenuhi tuntutan perlembagaan parti. Namun inilah masanya untuk ahli-ahli di akar umbi bersama-sama dengan seluruh kepimpinan melontarkan pandangan masing-masing untuk manfaat parti.

“Apatah lagi kita (UMNO) hari ini bukannya sepertimana dahulu sebelum tahun 2018. Hari ini parti bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat. Begitu juga di beberapa negeri yang lain,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau seterusnya menambah masing-masing boleh berkongsi pandangan untuk parti mengukuhkan kedudukannya dalam usaha memenangi pilihan raya yang akan datang sekaligus membantu dan membela rakyat.

“Inilah juga masanya untuk kita sama-sama memahami realiti politik semasa dan sama-sama merencana sesuai dengan senario hari ini.

“Bukannya kita masih saling tuding menuding antara satu sama lain. Kita perkasakan lagi parti mengikut cabaran dan hakikat semasa UMNO hari ini yang tentunya berdepan dengan pelbagai mehnah dan cabaran politik.

“Akhir kata kepada semua selamat bersidang dan gunakan ruang sebaiknya. UMNO perlu diperkasakan demi negara dan rakyat, insya Allah,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit