Tragedi Putra Heights Bukti Rakyat Malaysia Bersatu Tanpa Mengira Kaum – Mohd Sharkar
KUANTAN, 7 April – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin menegaskan bahawa tragedi kebakaran paip gas di Putra Heights baru-baru ini jelas membuktikan semangat perpaduan rakyat Malaysia yang kukuh tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang.
Menurut beliau, dalam suasana getir ketika insiden itu berlaku, rakyat tempatan tampil berganding bahu menghulurkan bantuan dan sokongan kepada mangsa yang terjejas, menggambarkan realiti sebenar keharmonian negara ini.
“Ketika segelintir pihak terus meniup api perpecahan, rakyat di peringkat akar umbi membuktikan bahawa perpaduan, keharmonian dan saling menghormati adalah nilai teras yang menjadi kekuatan negara kita,” katanya kepada UMNO Online.
Mohd Sharkar turut berkongsi momen menyentuh hati melibatkan seorang sukarelawan beragama Islam yang menunaikan solat di dalam Kuil Sri Maha Kaliamman, berhampiran lokasi kebakaran, yang menjadi simbol nilai kemanusiaan dan toleransi masyarakat majmuk.
“Ia adalah gambaran jelas bahawa nilai kemanusiaan rakyat Malaysia mengatasi segala perbezaan, dan semangat kebersamaan ini terus mengikat kita sebagai satu bangsa yang bersatu padu,” ujarnya.
Beliau menambah, Malaysia sebagai negara berbilang kaum sering diuji dengan pelbagai cabaran termasuk isu sosial, ekonomi dan keselamatan, namun perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat menjadi tunjang kepada kestabilan nasional.
“Soal keselamatan negara bukan hanya terletak di bahu pihak berkuasa, malah menjadi tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia. Kesatuan inilah yang menjadi benteng kekuatan kita,” tegas beliau.
Justeru, beliau menggesa rakyat agar menolak unsur kebencian serta perpecahan yang boleh merosakkan keharmonian, dan sebaliknya terus memupuk semangat muhibah serta kasih sayang antara kaum.
“Semangat muhibah yang ditonjolkan rakyat ini adalah harapan sebenar negara kita. Malaysia perlu kekal sebagai mercu tanda perpaduan, kasih sayang dan kemanusiaan di mata dunia,” katanya lagi.
Dilaporkan, pada Selasa lalu iaitu pagi Syawal kedua, negara dikejutkan dengan tragedi letupan besar di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Selangor. Letupan berpunca daripada kebocoran saluran paip gas yang mengakibatkan keadaan huru hara di sekitarnya. – UMNO Online