PRK DUN Ayer Kuning: Gabungan BN Komited Tawan Hati Pengundi – Ahmad Zahid
KAMPAR, 7 April – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan komitmen gabungan itu untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 yang bakal berlangsung.
Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk PRK N.48 Ayer Kuning yang diadakan hari ini, beliau yang juga Presiden UMNO berkata pertemuan tersebut melibatkan kepimpinan BN negeri dan bahagian, parti komponen seperti UMNO, MCA, MIC dan Friends of BN (FOBN), sayap-sayap parti serta pimpinan tempatan.
Menurut Ahmad Zahid, mesyuarat itu membincangkan pelbagai strategi bagi menawan hati pengundi agar terus memberikan sokongan kepada calon BN.
“Selain membincangkan strategi menawan hati pengundi untuk memilih calon BN, saya turut menggesa agar semua jentera di peringkat Cawangan, PDM, Bahagian dan Negeri Angkat untuk terus bergerak dengan penyelarasan tersusun dan disiplin tinggim” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Beliau turut menggesa semua jentera parti di peringkat Cawangan, Pusat Daerah Mengundi (PDM), Bahagian dan Negeri Angkat agar bergerak secara tersusun dan berdisiplin tinggi.
“KPI setiap PDM mesti dipantau secara berterusan bagi menangkap imaginasi dan sokongan para pengundi,” katanya.
Tambah beliau, semangat setiakawan, usaha terancang dan komitmen tinggi daripada semua pihak akan menjadi kunci kepada kemenangan lebih besar BN di Ayer Kuning, sekaligus membuka jalan untuk kemajuan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh bagi penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning pada 12 April depan, diikuti undi awal pada 22 April, manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 26 April membabitkan 31,897 pengundi berdaftar. – UMNO Online