PRK DUN Ayer Kuning: BN Lancar Jentera, Umum Calon Petang Ini
TAPAH, 7 April – Barisan Nasional (BN) hari ini akan melancarkan jentera pilihan raya serta mengumumkan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.48 Ayer Kuning.
Acara tersebut dijadual akan berlangsung dalam satu program di Command Center BN Perak, Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Hj Tahir, Temoh, Tapah.
Majlis ini bakal disempurnakan oleh Pengerusi BN merangkap Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama-sama Pengerusi BN Negeri Perak merangkap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dengan pelancaran jentera yang tersusun dan strategi kempen yang berfokuskan rakyat, BN yakin mampu mempertahankan kepercayaan pengundi di Ayer Kuning dalam PRK ini.
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018, memenangi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memperoleh majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh bagi penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning pada 12 April depan, diikuti undi awal pada 22 April, manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 26 April membabitkan 31,897 pengundi berdaftar. – UMNO Online