Persidangan UMNO: Menghadapi Cabaran, Menginspirasikan Perubahan

KUALA LUMPUR, 7 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengucapkan selamat bersidang kepada seluruh perwakilan UMNO Cawangan-cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri di seluruh negara yang akan berlangsung bermula hari ini hingga 25 Mei 2025.

Dalam hantaran menerusi media sosialnya sempena bermula mesyuarat Cawangan tersebut, beliau mengajak seluruh anggota parti untuk memanfaatkan persidangan ini.

“Bersama kita manfaatkan persidangan ini sebagai medan untuk memperkukuh perjuangan, memahami cabaran politik semasa, dan menyusun langkah bagi memastikan UMNO terus relevan dalam landskap politik yang sentiasa berubah,” katanya.

Ujarnya yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), inilah masanya untuk perkemas gerak kerja, menyuarakan pandangan akar umbi, dan memperkukuh saf dengan penuh kebijaksanaan dan kesepaduan.

“Semoga persidangan ini menjadi asas kukuh untuk kita memperteguh perjuangan dan terus memberikan khidmat bakti dengan penuh komitmen dan dedikasi,” katanya lagi.

Dilaporkan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bermesyuarat pada 12 Mac lalu memaklumkan persidangan UMNO Cawangan akan berlangsung dari 7 April hingga 25 Mei 2025, dan disusuli Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian yang dijadualkan berlangsung bermula 9 Jun hingga 27 Julai 2025.

Seterusnya, Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan dari 20 Ogos hingga 23 Ogos 2025. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit