Persidangan UMNO: Medium Perkukuh Muafakat Perjuangan Bangsa – Jalaluddin
KUALA LUMPUR, 7 April – Hari ini bermula musim persidangan UMNO dan ia bukan sekadar sebuah ketetapan atau prosedur parti.
Demikian tegas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang menganggap persidangan ini sebagai medium penting dalam memperkasakan perjuangan agama, bangsa, dan tanah air.
Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu mengingatkan kepimpinan dan ahli parti di setiap peringkat agar menjadikan persidangan ini sebagai tempat untuk memperkukuhkan muafakat antara ahli.
“Jangan anggap persidangan tahunan sekadar untuk memenuhi syarat organisasi semata-mata. Sebaliknya, ia harus menjadi wadah untuk kita perbaiki dan perkemaskan gerak kerja parti,” ujar beliau dalam hantaran berkaitan hal terbabit.
Menurutnya lagi, dengan sumbangan ikhlas daripada semua ahli yang setia, UMNO pasti akan kembali berdiri sebagai sebuah entiti yang digeruni suatu hari nanti.
Jalaluddin turut mengucapkan selamat bersidang kepada seluruh perwakilan UMNO Cawangan-Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, dan Puteri di seluruh negara, khususnya di Negeri Sembilan.
Persidangan UMNO Cawangan akan berlangsung dari bermula hari ini, 7 April hingga 25 Mei 2025, diikuti dengan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian yang dijadualkan antara 9 Jun hingga 27 Julai 2025.
Seterusnya, Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan dari 20 Ogos hingga 23 Ogos 2025. – UMNO Online