Mesyuarat UMNO Cawangan, SUA Ucap Selamat Bersidang
KUALA LUMPUR, 7 April 2025 — Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengucapkan selamat bersidang kepada seluruh perwakilan UMNO Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri di seluruh negara yang akan mula bersidang bermula hari ini sehingga 25 Mei 2025.
Dalam satu kenyataan, beliau menekankan bahawa tempoh persidangan ini bukan sekadar memenuhi rutin organisasi tahunan, tetapi merupakan satu medan penting untuk memperkukuhkan saf perjuangan, memperhalusi gerak kerja, dan memperteguhkan muafakat dalam kalangan ahli demi perjuangan agama, bangsa dan tanah air.
“Inilah waktunya untuk kita perkemaskan gerak kerja, menyuarakan pandangan di peringkat akar umbi serta menyusun langkah untuk memperkukuh parti yang kita sayang ini,” ujar beliau.
Beliau turut menyeru agar seluruh ahli menggunakan peluang ini untuk menyuarakan pandangan secara konstruktif dan memastikan UMNO terus relevan dan kukuh dalam landskap politik tanah air.
Terdahulu, dalam Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bermesyuarat pada 12 Mac lalu memaklumkan persidangan UMNO Cawangan akan berlangsung dari 7 April hingga 25 Mei 2025, diikuti dengan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian yang dijadualkan antara 9 Jun hingga 27 Julai 2025.
Seterusnya, Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan dari 20 Ogos hingga 23 Ogos 2025. – UMNO Online