Hafiz Ariffin Seru Pemuda UMNO Terus Bersemangat, Susun Organisasi Perkukuh Parti
KUALA LUMPUR, 7 April – Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin menyeru seluruh ahli Pemuda UMNO di peringkat akar umbi agar terus kekal bersemangat dan bersatu hati dalam memperkukuh organisasi.
Menerusi satu hantaran di Facebooknya sempena persidangan Cawangan Pemuda UMNO di seluruh negara, beliau menyampaikan ucapan selamat bersidang kepada 13,478 cawangan daripada 191 bahagian UMNO di seluruh tanah air.
“Inilah ruang dan waktu terbaik untuk kita berkumpul, berbicara, dan bermusyawarah demi menyusun atur organisasi kita dengan lebih tersusun dan berkesan.
“Politik untuk orang muda macam kita rencam, tidak boleh putus asa walau keadaan tidak sebaik dahulu. Jangan patah semangat, kita teruskan melangkah.
“Terima kasih atas kesetiaan dan semangat anda semua yang terus menjadi nadi penggerak – asas penting dalam menghidupkan institusi dan parti yang kita cintai ini. Selamat bersidang dan terus maju, Pemuda Cara Kita,” katanya.
Terdahulu, dalam Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bermesyuarat pada 12 Mac lalu memaklumkan persidangan UMNO Cawangan akan berlangsung dari 7 April hingga 25 Mei 2025, diikuti dengan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian yang dijadualkan antara 9 Jun hingga 27 Julai 2025.
Seterusnya, Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan dari 20 Ogos hingga 23 Ogos 2025. – UMNO Online