Calon BN Ucap Terima Kasih, Yakin Kekal Di DUN Ayer Kuning
TAPAH, 7 April – Calon Barisan National (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Yusri Bakir mengucapkan terima kasih kepada barisan kepimpinan pusat dan bahagian yang memberi peluang kepada beliau untuk mewakili parti pada PRK kali ini.
Ujarnya, beliau yakin dengan kerjasama daripada semua pihak mampu memberikan kejayaan kepada BN untuk menawan DUN Ayer Kuning.
“Terima kasih saya ucapkan kepada barisan kepimpinan parti khususnya UMNO Bahagian Tapah yang telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk mewakili BN pada PRK Ayer Kuning ini.
“Insya-Allah dengan kerjasama dan komitmen daripada kita semua dapat membawa kejayaan yang besar kepada DUN Ayer Kuning.
“Ini semua demi meneruskan perancangan dan apa yang telah dibuat oleh allahyarham Ishsam Shahruddin untuk rakyat Ayer Kuning,” katanya ketika menyampaikan ucapan di majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon, di sini, hari ini.
Terdahulu Dr Yusri, 54, telah diumum sebagai calon BN untuk PRK DUN Ayer Kuning.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN yang berlangsung di sini, hari ini.
Beliau merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah dan berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh.
Yusri juga merupakan lulusan Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online