Bung Moktar Tinjau Mangsa Banjir Di Pangkalan Bukit Garam

KINABATANGAN, 7 April – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin telah meluangkan masa meninjau keadaan mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pangkalan Bukit Garam, susulan hujan lebat berterusan yang melanda kawasan tersebut sejak beberapa hari lalu.

Dalam lawatan tersebut, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan sempat meluangkan masa beramah mesra dan bertanya khabar kepada para mangsa banjir yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, wanita dan kanak-kanak.

Beliau turut menzahirkan rasa simpati terhadap penduduk yang terpaksa berpindah dari kediaman mereka akibat paras air yang semakin meningkat.

Dalam masa yang sama, beliau turut diberi taklimat oleh pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pengairan dan Saliran mengenai perkembangan terkini situasi banjir di sekitar kawasan Bukit Garam dan kawasan-kawasan berhampiran.

Laporan menunjukkan beberapa kampung masih berada dalam zon berjaga-jaga berikutan ramalan hujan yang dijangka berterusan.

Beliau turut menggesa penduduk untuk sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Lawatan ini jelas menunjukkan keprihatinan beliau terhadap nasib penduduk setempat yang terkesan dan komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan rakyat diutamakan, terutama ketika menghadapi bencana seperti ini. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit