Razlan Gesa Fadhli Berhenti Main Politik Murahan
KUALA LUMPUR, 6 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii melihat Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari lebih gemar bermain politik murahan selain menabur sindiran dan fitnah.
Menurut beliau ketika rakyat sedang memerlukan empati dan bantuan, Ahli Parlimen Pasir Mas itu dilihat sebaliknya malah dianggap tindakan tidak bertanggungjawab.
“Ketika dunia berdepan dengan krisis bencana alam seperti gempa bumi yang melanda Myanmar, Thailand dan Indonesia, kita di Malaysia harus bersyukur kerana masih dilindungi Allah SWT daripada bencana yang besar.
“Dugaan yang berlaku di Selangor baru-baru ini yakni insiden paip pecah dan letupan yang melibatkan ratusan rumah sememangnya mencabar dan perlukan sebaik-baik perhatian.
“Namun, malangnya dalam saat getir sebegini, masih ada ahli politik seperti Fadhli Shaari yang tidak tahu membaca keadaan. Beliau memilih untuk terus bermain politik murahan, menabur sindiran dan fitnah, ketika rakyat sedang memerlukan empati dan bantuan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Razlan seterusnya menegaskan Fadhli tidak pernah gagal untuk mengkritik, walau dalam apa jua keadaan, namun dalam setiap krisis, beliau tampil bukan untuk membantu tetapi untuk mengkritik tanpa asas.
“Tindakannya bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah menambah luka di saat rakyat sedang merintih. Di mana semangat menjaga tanahair? Di mana rasa hormat kepada mangsa?
“Kalau benar berlaku bencana besar di negara ini, na’uzubillah…saya berdoa agar tiada lagi ahli politik seperti ini yang hanya tahu menyalahkan dan mencari populariti atas penderitaan rakyat.
“Saya menyeru semua pihak agar menolak politik sempit yang dibawa oleh Pas. Ini bukan masa untuk berpolitik, ini masa untuk bersatu, mencari titik persamaan dan menghulurkan bantuan. Negara tidak akan ke hadapan jika masih ada ahli politik yang suka ‘menangguk di air keruh,” ujarnya.
Ujar beliau lagi rakyat lebih memerlukan keprihatinan daripada perbalahandan kepada semua agensi keselamatan, pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Negeri Selangor, teruskan usaha membantu mangsa tanpa menghiraukan suara-suara sumbang.
“Cukuplah Fadhli, belajarlah untuk menjadi matang. Politik yang tidak berjiwa rakyat tidak akan ke mana,” tambahnya.- UMNO Online