Noraini Santuni Mangsa Insiden Kebakaran Paip Gas
SUBANG JAYA, 3 April – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad melawat dan menyantuni mangsa insiden kebakaran paip gas yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights di sini pada pagi Rabu.
Menurut Ketua Wanita UMNO Malaysia itu, sehingga tengah hari pada hari itu, seramai 489 orang mangsa daripada 109 buah keluarga telah ditempatkan di PPS ini.
Dr. Noraini turut mendengar sendiri pengalaman yang dilalui oleh para mangsa dalam insiden semalam.
“Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Walaupun terdapat beberapa mangsa yang cedera, semuanya berada dalam keadaan selamat.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang lain sedang bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua mangsa yang berlindung di sini,” kata Dr Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.
Seterusnya, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri, pihak pengurusan masjid, rakan-rakan strategik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta para sukarelawan yang telah bersama-sama membantu menyelaras dan menguruskan keperluan para mangsa insiden ini.
Tambah Dr Noraini lagi, Wanita UMNO Malaysia juga melalui Kelab Skuad Sayang 3K akan mula mengumpulkan barangan sumbangan seperti pakaian dan barangan keperluan wanita untuk diserahkan kepada mangsa-mangsa di PPS itu nanti.
“Terima kasih juga kepada rakyat Malaysia yang prihatin dan sentiasa menunjukkan semangat solidariti dalam menghadapi ujian ini. Alhamdulillah,” katanya. – UMNO ONLINE