Misi Kemanusiaan: Setinggi Penghargaan Kepada Pasukan SMART

KUALA LUMPUR, 3 April – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anggota Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang sanggup mengorbankan masa bersama keluarga sempena Aidilfitri demi melaksanakan misi kemanusiaan ekoran kejadian gempa bumi di Myanmar.

Ujar Presiden UMNO itu, pengorbanan mereka amat dihargai dan menjadi simbol kesungguhan Malaysia dalam membantu masyarakat antarabangsa yang dilanda musibah.

“Kerajaan akan terus memantau situasi ini dengan teliti. Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri (NADMA) bersama agensi-agensi berkaitan akan memastikan segala bentuk bantuan dapat disalurkan dengan cekap dan berkesan.

“Malaysia sentiasa konsisten dalam pendiriannya untuk membantu negara jiran yang memerlukan.

“Misi kemanusiaan ini mencerminkan solidariti ASEAN dan komitmen Malaysia terhadap nilai-nilai kemanusiaan sejagat,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam satu catatan di Facebook.

Mengenai perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid memaklumkan pada jam 2.00 petang Rabu, pasukan SMART telah berjaya mengesan dan menyelamatkan seorang mangsa lelaki, berusia sekitar 40-an, yang ditemui masih hidup di bawah runtuhan di Worksite K10 (kawasan perumahan), Jalan Sagaing-Ta Da U.

Penemuan ini dibuat dengan bantuan peralatan khas milik SMART.

“Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 2.27 petang hasil kerjasama erat dengan anggota bomba tempatan, sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.

“Kejadian ini merupakan satu keajaiban memandangkan mangsa telah terperangkap lebih daripada 72 jam di bawah runtuhan,” katanya.

Terdahulu kongsinya lagi, pasukan SMART turut menemui dan mengeluarkan enam jasad mangsa yang terkorban dalam bencana gempa bumi di Sagaing.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi ini.

“Semoga mereka diberi ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi saat yang amat mencabar ini,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit