Jadikan Aidilfitri Wadah Eratkan Hubungan – Shamsul Anuar

 

KUALA LUMPUR, 1 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menjadikan Hari Raya Aidilfitri sebagai wadah mengeratkan hubungan dan silaturahim.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong melahirkan rasa syukur kerana Hari Raya Aidilfitri dapat disambut dengan selesa dan sempurna kerana nikmat keamanan yang dikecapi Malaysia.

“Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya Shamsul Anuar Nasarah, Ahli MKT UMNO Malaysia mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pimpinan parti di pelbagai peringkat terutama akar umbi.

“Saya sesungguhnya merasa syukur kerana negara kita aman dan ia membolehkan kita menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan selesa, sempurna dan meraikan kejayaan berpuasa selama sebulan,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar Hari Raya Aidilfitri ini menjadi jambatan untuk menyatupadukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

“Sempena dengan sambutan Aidilfitri ini, marilah kita terus merapatkan hubungan sesama kita… sesama pemimpin, ahli dan tentunya rakyat jelata.

“Mari kita jadikan perayaan ini sebagai suatu yang boleh mengeratkan dan merapatkan hubungan antara kaum di negara ini. Jadi, raikanlah juga kehadiran rakan-rakan kita daripada pelbagai kaum dan jadikan Aidilfitri ini sebagai suatu yang boleh menyatupadukan kita sebagai rakyat Malaysia.

“Sekali lagi, saya ucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin. Semoga perayaan ini lebih menggembirakan dan tingkatkan rasa syukur kita kepada Allah SWT,” katanya.

Umat Islam di seluruh negara dijangka menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 31 Mac 2024 selepas sebulan melalui bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Terdahulu media melaporkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lonjakan trafik yang ketara menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, dengan anggaran melebihi dua juta kenderaan pada tiga hari sebelum perayaan.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Ir Zakaria Ahmad Zabidi berkata, peningkatan trafik tertinggi dijangka berlaku pada Khamis, Jumaat dan Sabtu sebelum Aidilfitri, dengan jumlah keseluruhan trafik musim perayaan kali ini mencecah lebih 2.2 juta kenderaan sehari. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit