Aidilfitri… Kembalikan Ukhuwah Sesama Umat Islam – Lokman Adam
KUALA LUMPUR, 1 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam dan ahli UMNO di peringkat akar umbi.
Beliau yang juga Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia berharap agar perayaan tersebut digunakan untuk mengembalikan dan mengeratkan ukhuwah sesama umat Islam.
“Saya Lokman Noor Adam, Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia ingin mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam dan ahli-ahli UMNO di akar umbi.
“Gunakan Hari Raya Aidilfitri pada kali ini untuk mengembalikan ukhuwah di kalangan kita, sahabat handai dan juga saudara mara,” katanya kepada UMNO Online.
Di samping itu, beliau turut berharap agar Hari Raya Aidilfitri ini digunakan untuk mendekati para pengundi memandangkan masa bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang berbaki lebih kurang dua tahun lagi.
“Gunakan masa satu hingga dua tahun sebelum PRU ke-16 ini untuk kita mengunjungi teman-teman kita khususnya yang berbangsa Melayu dan beragama Islam… yang merupakan kumpulan sasar kita.
“Gunakan peluang ini untuk mengeratkan hubungan dan dekati mereka agar mereka mengetahui usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan serta kepimpinan di peringkat bahagian mahupun akar umbi. Insya-Allah,” katanya.
Umat Islam di seluruh negara menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 31 Mac 2024 selepas sebulan melalui bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Terdahulu media melaporkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lonjakan trafik yang ketara menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, dengan anggaran melebihi dua juta kenderaan pada tiga hari sebelum perayaan.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Ir Zakaria Ahmad Zabidi berkata, peningkatan trafik tertinggi dijangka berlaku pada Khamis, Jumaat dan Sabtu sebelum Aidilfitri, dengan jumlah keseluruhan trafik musim perayaan kali ini mencecah lebih 2.2 juta kenderaan sehari. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman