Wanita UMNO Malaysia Kecewa Insiden Kekasaran Peniaga Kecil Oleh Penguatkuasa DBKL

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Wanita UMNO Malaysia melahirkan rasa kecewa dan sedih terhadap insiden yang melibatkan seorang peniaga kecil yang dikenali sebagai “Abang Belon”, yang telah dikasari oleh penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 28 Mac 2025.

Ketua Penerangannya, Datuk Rosni Zahari, dalam satu kenyataan, menegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang perlu dilakukan secara bijaksana, penuh empati, dan berperikemanusiaan.

Ujarnya, kejadian tersebut telah mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat yang bersimpati terhadap nasib peniaga kecil yang hanya berusaha mencari rezeki halal.

Menurut beliau, profesionalisme dan keprihatinan harus menjadi asas dalam setiap tindakan penguatkuasaan bagi mengelakkan tindakan kekerasan yang tidak sepatutnya berlaku.

“Penguatkuasaan peraturan memang perlu dilaksanakan, namun penggunaan kekerasan yang melampau sama sekali tidak boleh diterima dan tidak wajar dikompromi.

“Peniaga kecil seperti ‘Abang Belon’ perlu didekati dengan lebih bijaksana dan penuh timbang rasa, terutamanya dalam bulan Ramadan yang mulia ini.”

Ujarnya, Wanita UMNO Malaysia turut memandang serius insiden tersebut dan akan terus memantau perkembangan kes ini bagi memastikan keadilan ditegakkan.

“Kami menyeru semua pihak agar mengambil iktibar daripada insiden ini dan sentiasa mengutamakan pendekatan yang lebih berhemah dalam menjalankan tugas penguatkuasaan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit