Raikan Aidilfitri Dengan Penuh Makna, Kukuhkan Silaturahim – Nurul Amal
KUALA LUMPUR, 30 Mac – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menyambut Aidilfitri dengan penuh kesederhanaan serta tidak membazir, selari dengan semangat bulan Ramadan.
Menurut beliau, umat Islam kini sedang menjalani ibadat puasa dan seharusnya meneruskan amalan berhemat ketika menyambut Syawal yang bakal tiba.
“Sekarang ini kita sedang menjalani ibadah puasa, jadi janganlah membazir. Aidilfitri yang bakal menjelang harus disambut dengan penuh kesyukuran dan sederhana.
“Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia dan kepada umat Islam yang hendak balik ke kampung ini berhati-hati di jalan raya. Saya doakan semuanya selamat sampai ke destinasi masing-masing,” katanya kepada UMNO Online.
Dalam kemeriahan menyambut Syawal, Nurul Amal turut mengajak masyarakat untuk mengenang insan tersayang yang telah pergi.
“Jangan lupa kirimkan doa buat mereka yang telah meninggalkan kita. Raikan Syawal dengan penuh makna, ziarahi saudara-mara dan eratkan kembali silaturahim.
“Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi juga satu kesempatan untuk memperkukuhkan hubungan kekeluargaan dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.
“Ia menandakan kemenangan selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan di samping menjadi peluang untuk meraikan nikmat ketaqwaan dan kesabaran,” katanya. – UMNO Online