Insiden Abang Belon: Ketua UMNO Bukit Bintang Saran Latihan Profesional Untuk Penguatkuasa DBKL

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Ketua UMNO Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin mengemukakan cadangan agar pihak penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diberi latihan dalam berurusan secara lebih berhemah dan profesional.

Hal ini susulan insiden yang melibatkan seorang peniaga kecil yang dikenali sebagai “Abang Belon”, telah dikasari oleh penguatkuasa DBKL di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 28 Mac lalu.

Tengku Azman menegaskan bahawa tindakan untuk menegakkan undang-undang perlu diambil dengan penuh pertimbangan dan kekerasan seharusnya menjadi pilihan terakhir.

Menurut beliau, situasi yang berlaku melibatkan penjual belon di ibu kota sepatutnya diselesaikan dengan pendekatan yang lebih tertib dan berbentuk advokasi, bukannya dengan tindakan keras.

“Penjual belon adalah peniaga statik yang tidak mengganggu perniagaan lain. Mereka juga boleh dianggap sebagai peniaga kecil yang tidak memerlukan syarat ketat seperti peniaga minuman atau barangan dagangan lain,” jelasnya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Beliau juga mencadangkan agar DBKL mempertimbangkan pemberian lesen sementara atau khas kepada penjual belon, sama seperti yang dilakukan untuk artis jalanan.

“Saya amat kesal dengan tularnya video yang menunjukkan DBKL tidak profesional dalam menangani isu ini, terutamanya menjelang hari raya.

“Apa bezanya mereka dengan penjual bunga yang nampaknya berleluasa di pusat bandar, terutama di kawasan pusat hiburan?

“DBKL tidak menunjukkan komitmen untuk mengatasi kegiatan mereka, tetapi lebih berani mengambil tindakan terhadap golongan yang hanya ingin mencari rezeki tambahan sempena musim perayaan,” katanya.

Tegasnya, tindakan yang diambil terhadap penjual belon dianggap melampau tanpa sebarang pendekatan yang lebih holistik dalam menyelesaikan isu tersebut. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit