Aidilfitri: Perantau Dinasihatkan Pandu Kereta Dengan Berhemah
KUALA LUMPUR, 30 Mac – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad menasihatkan perantau yang pulang ke kampung halaman masing-masing pada sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk memandu dengan berhati-hati.
Katanya, memandu dalam keadaan bertenang amat penting bagi memastikan tumpuan sepenuhnya dapat diberikan ketika berada di atas jalan raya.
“Pada yang balik jauh, hati-hati bawa kereta elok-elok agar orang yang disayangi kita dapat jumpa.
“Jangan kita bawa balik kelam-kabut… tak perlu. Jadi perlahankan sejam, selamat dua jam. Kalau nak laju 20 minit, barangkali kita berakhir di jalan raya.
“Saya doakan semua kita selamat menyambut Adil Fitri, maaf zahir batin, supaya kita semua selamat sampai berjumpa keluarga kita yang disayangi di kampung masing-masing,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Beliau turut sama berharap Syawal ini diraikan dengan penuh semangat kekeluargaan antara satu sama lain dalam usaha menyuburkan lagi suasana muhibbah apatah lagi dalam mengharungi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
“Jangan lupa dalam Aidilfitri ini kita akan ada PRK DUN Ayer Kuning. Jadi saya menyeru kepada semua penyokong-penyokong kerajaan, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) keluar beramai-ramai, datang beramai-ramai untuk beriringan bersama dengan calon BN kawasan Ayer Kuning,” ujar beliau.
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018, memenangi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memperoleh majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh bagi penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning pada 12 April depan, diikuti undi awal pada 22 April, manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 26 April membabitkan 31,897 pengundi berdaftar. – UMNO Online