Malaysia Hantar Pasukan SMART Sertai SAR Di Myanmar, Thailand – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR,29 Mac – Malaysia mengatur gerak pasukan Special Malaysia Disaster Assistance and Rescue Team (SMART) ke Myanmar susulan gempa bumi kuat yang melanda bahagian tengah negara itu dan utara Thailand.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pasukan tersebut dijadualkan tiba di Yangon pada Sabtu sekitar jam 1.00 tengah hari bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan paling terkesan.

Menurutnya, misi bantuan kemanusiaan ke Thailand juga sedang diselaraskan dan akan digerakkan dalam masa terdekat.

“Malaysia telah merakamkan rasa dukacita dan simpati mendalam terhadap insiden gempa bumi yang berpusat di Myanmar serta memberi impak besar kepada Thailand.

“Kejadian ini telah mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan serius serta kerosakan besar kepada bangunan dan infrastruktur awam di kedua-dua negara.

“Lebih memilukan, terdapat laporan mengenai mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan, manakala usaha menyelamat sedang dijalankan dalam keadaan mencabar,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Ahmad Zahid, sebagai negara jiran yang prihatin dan rakan solidariti dalam komuniti ASEAN, Malaysia menyatakan komitmen penuh dalam membantu negara-negara yang terjejas.

Dalam masa sama, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat memberitahu bahawa Malaysia melalui NADMA kekal komited untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam pengurusan bencana.

“Khususnya melalui penyediaan kepakaran, aset teknikal dan sokongan logistik bagi meringankan penderitaan mangsa serta mempercepatkan proses pemulihan pasca bencana.

“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Myanmar dan Thailand dalam menghadapi saat-saat sukar ini dan akan terus memainkan peranan aktif dalam usaha bantuan kemanusiaan di rantau ini,” ulasnya.

Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan satu gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 melanda Myanmar pada kedalaman 10 kilometer dan beberapa minit kemudian, gempa susulan berukuran 6.4 pada Skala Richter melanda kawasan yang sama.

Gegaran kedua-dua gempa turut dirasai di Chiang Mai, Bangkok dan Ho Chi Minh City.

Di Myanmar, media tempatan melaporkan bahawa keadaan darurat telah diisytiharkan di wilayah Sagaing, Mandalay, Magway, Bago, Negeri Shan Timur serta ibu kota Naypyidaw, sementara pihak berkuasa terus menilai tahap kerosakan.

Di Thailand, laporan menunjukkan bahawa sistem transit utama termasuk MRT, BTS dan Airport Rail Link di Bangkok terpaksa dihentikan susulan gegaran itu.

Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, telah mengisytiharkan darurat di Bangkok, dan penilaian kerosakan masih dijalankan.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit