Gempa Bumi: Ahmad Zahid Ucap Takziah Kepada Myanmar

KUALA LUMPUR,29 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan setinggi-tinggi takziah dan simpati kepada rakyat Myanmar susulan gempa bumi kuat yang melanda negara itu dan meragut nyawa secara tragis serta mengakibatkan kemusnahan.

Beliau turut menyatakan solidariti Malaysia dengan rakyat Myanmar dan mereka yang terjejas akibat bencana itu.

“Doa dan ingatan kami bersama-sama mangsa, keluarga mereka dan komuniti yang berdepan kehilangan serta kemusnahan.

“Kami mendoakan agar rakyat Myanmar diberikan kekuatan, ketabahan dan keselamatan pada masa yang sukar ini.

“Semoga usaha menyelamat serta bantuan dijalankan dengan pantas dan berkesan… semoga mereka yang memerlukan menerima bantuan dan sokongan tepat pada masanya,” kata beliau dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan satu gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 melanda Myanmar pada kedalaman 10 kilometer dan beberapa minit kemudian, gempa susulan berukuran 6.4 pada Skala Richter melanda kawasan yang sama.

Gegaran kedua-dua gempa turut dirasai di Chiang Mai, Bangkok dan Ho Chi Minh City.

Di Myanmar, media tempatan melaporkan bahawa keadaan darurat diisytihar di wilayah Sagaing, Mandalay, Magway, Bago, Negeri Shan Timur serta ibu kota Naypyidaw.

Pada masa yang sama, pihak berkuasa terus menilai tahap kerosakan.

Di Thailand, laporan menunjukkan bahawa sistem transit utama termasuk MRT, BTS dan Airport Rail Link di Bangkok terpaksa dihentikan susulan gegaran itu.

Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra telah mengisytiharkan darurat di Bangkok dan penilaian kerosakan masih dijalankan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan bahawa susulan gempa bumi kuat itu, beberapa negeri di Semenanjung merasai gegaran.

Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami ke atas Malaysia. – Bernama

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit