Dr Akmal Kecam Tindakan Kasar Ke Atas Peniaga Belon, Persoal SOP DBKL
KUALA LUMPUR, 29 Mac – Pemuda UMNO sedia menuntut keadilan terhadap ‘abang jual belon’ yang didakwa diperlakukan secara kasar oleh sekumpulan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu insiden di Jalan Tunku Abdul Rahman, pada Jumaat.
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau amat terkejut dan sedih dengan kejadian yang menimpa penjaja terbabit.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan kepada menteri bertanggungjawab sama ada tindakan kasar merupakan antara sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
“Betul itu salah mereka kalau tidak ada lesen, tak ada permit. Tetapi kita ni sebagai manusia, ada belas ihsan. Ini kan nak musim raya, biarlah kalau dia nak berniaga sekali pun.
“Dia diperlakukan secara kasar kerana dia pun ada anak, ada isteri, ada juga saudara-mara. Kalau saudara-mara dan anak tengok dia diperlakukan begini apakah perasaan mereka, dah tentu mereka sedih,” katanya menerusi hantaran video di Facebook.
Terdahulu, tular beberapa rakaman video memaparkan insiden kekecohan selepas berlaku perselisihan antara penguat kuasa DBKL dan penjual barangan tanpa lesen.
Rakaman video yang dipercayai diambil peniaga sekitar lokasi itu mulanya menunjukkan beberapa anggota penguat kuasa DBKL sedang merampas belon yang dijual seorang individu, namun suasana bertukar menjadi kecoh selepas peniaga dipercayai tidak memberi kerjasama.
Kesal dengan tindakan penguat kuasa DBKL, Ketua Pemuda UMNO itu turut mempersoalkan adakah berat sangat kesalahan yang dilakukan oleh mangsa sehingga dia dijatuhkan, berguling dan beramai-ramai hendak menangkapnya.
Sementara itu, Dr Muhamad Akmal dalam masa sama turut memaklumkan, beliau meminta supaya mencari mangsa bagi menuntut keadilan ke atas lelaki tersebut.
“Dia adalah manusia dan bukan binatang yang boleh diperlakukan begitu rupa. Tolonglah ada belas ihsan. Dua, tiga jam (berniaga). Berapalah dia dapat.
“Kita akan cari abang ni, kita akan lawan di mahkamah. Pemuda UMNO akan lawan kamu (DBKL), kita akan tuntut keadilan,” tegasnya.