Jadikan Aidilfitri Momen Terindah, Hati-Hati Di Jalan Raya – Mohd Faizal

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Faizal Ramli mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya para pemimpin dan akar umbi parti.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Port Dickson turut menitipkan pesan agar berhati-hati memandu di jalan raya supaya selamat sampai ke destinasi yang dituju pada Aidilfitri ini.

“Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya Mohd Faizal Ramli, Ketua Bahagian Port Dickson, merangkap Ahli MKT UMNO Malaysia ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri.

“Mohon maaf Zahir dan batin… halalkan makan dan minum. Di kesempatan ini juga, saya ingin menasihatkan kepada seluruh rakyat Malaysia, jika pulang beraya di kampung, hendaklah berhati-hati semasa memandu. Semoga selamat sampai ke destinasi.

“Seperti lazimnya, setiap tahun kita akan berkumpul bersama sanak-saudara. Pastikan bahawa hari raya hari tahun ini akan menjadi satu kenangan yang terindah kepada kita semua,” katanya kepada UMNO Online.

Umat Islam di seluruh negara dijangka menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 31 Mac 2024 selepas sebulan melalui bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Terdahulu media melaporkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lonjakan trafik yang ketara menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, dengan anggaran melebihi dua juta kenderaan pada tiga hari sebelum perayaan.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Ir Zakaria Ahmad Zabidi berkata, peningkatan trafik tertinggi dijangka berlaku pada Khamis, Jumaat dan Sabtu sebelum Aidilfitri, dengan jumlah keseluruhan trafik musim perayaan kali ini mencecah lebih 2.2 juta kenderaan sehari. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit