Waspada Propaganda Pembangkang Depani PRK Ayer Kuning – Dr Azhar

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata helah politik yang dicipta pembangkang bukan hanya pada musim pilihan raya, namun dilakukan sepanjang masa bagi menyebarkan propaganda mereka untuk mengkaburi mata rakyat.

Dalam landskap bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning April nanti, beliau berkata rakyat perlu menyedari bahawa pembangkang melakukan pelbagai helah bagi mengkaburi mata rakyat untuk melihat kebaikan dibawa kerajaan.

“Bukan pilihan raya sahaja kerja puak pembangkang tetapi kalau pilihan raya lima, tiga tahun lagi dia sudah ceramah hari-hari, maki hamun dan fitnah macam-macam.

“Menghasut rakyat siang dan malam, membenci kepada kerajaan… dulu bagi benci UMNO sehingga kita kalah dan rakyat menyesal.

“Bagi saya tidak hairan lagi dengan sikap Perikatan Nasional (PN) yang begitu rupa kerana ini peluang mereka apabila masuk pilihan raya menghalalkan apa sahaja cara bagi meraih undi dan simpati rakyat terutama dalam berhadapan PRK Ayer Kuning,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Mengulas lanjut Dr Azhar berkata sehinggakan agenda prihatin rakyat yang dibawa kerajaan tidak seringkali mendapat kritikan pembangkang.

Jelas beliau lagi, sebaliknya PN sering memanfaatkan isu berkaitan kaum demi meraih sokongan politik.

“Walaupun ketika tidak ada pilihan raya tapi kalau tengok di Parlimen apakah satu patah butir perkataan yang baik kepada kerajaan? Tidak ada. Tujuan mereka tidak lain hendak menarik undi khususnya orang Melayu dengan memburuk-burukkan UMNO.

“Sehingga menyebut UMNO seperti tidak ada guna, tidak ada jasa langsung kepada negara Malaysia ini. UMNO ni macam sampah dibuat oleh PN sedangkan kita tahu UMNO sebuah parti yang sangat berjasa,” ujar beliau.

PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018, memenangi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memperoleh majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh bagi penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning pada 12 April depan, diikuti undi awal pada 22 April, manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 26 April membabitkan 31,897 pengundi berdaftar. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit