Program Pedoman Ramadan KEMAS Eratkan Hubungan Masyarakat – Awang Aslee

BEAUFORT, 27 Mac – Peranan kerajaan melalui pelbagai agensi amat penting dalam membantu rakyat, sebagaimana yang diusahakan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dalam memperkasa pendidikan, sosial, dan ekonomi masyarakat.

Dalam Program Pedoman Ramadan KEMAS Daerah Beaufort 2025, Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, menekankan bahawa usaha kerajaan melalui KEMAS sangat signifikan dalam memastikan rakyat mendapat manfaat daripada pelbagai program pembangunan yang dirancang.

Jelasnya, program yang dilaksana secara bergotong-royong ini melibatkan pengagihan bubur lambuk dan air tebu oleh Wanita UMNO Beaufort, yang bukan sahaja menceriakan bulan Ramadan tetapi juga mengeratkan hubungan dalam masyarakat.

“Inisiatif yang dijalankan oleh KEMAS bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan sasar seperti ibu bapa, kanak-kanak dan orang ramai, malah turut membantu komuniti setempat dalam meningkatkan kesejahteraan hidup.

“Dengan inisiatif berterusan ini, kerajaan melalui agensi seperti KEMAS membuktikan bahawa pembangunan masyarakat bukan hanya tertumpu kepada sektor fizikal semata-mata, tetapi juga melibatkan pembangunan modal insan yang mampu melahirkan masyarakat yang lebih berdaya saing dan progresif.

“Sokongan dan penyertaan aktif rakyat dalam program-program ini adalah bukti bahawa usaha dalam membangunkan komuniti setempat benar-benar memberi impak positif kepada kesejahteraan mereka,” katanya kepada UMNO Online.

Program ini diadakan di Pusat e-Read Pekan Kuala Penyu, semalam.

Dalam acara berbeza, diadakan Majlis Khatam Al-Quran Perdana sempena bulan Ramadan yang telah berlangsung di Masjid Daerah Kecil Menumbok yang turut disertai oleh Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching bersama Pusat Khidmat Rakyat dan UMNO Bahagian Beaufort.

Selain itu, jelas Awang Aslee, Program Ihya Ramadan anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut diadakan bagi mengimarahkan bulan suci ini.

“Dalam majlis yang sama, satu Program Ziarah Ramadan telah diadakan, termasuk pengagihan sumbangan kepada 40 orang golongan asnaf bagi meringankan beban mereka sepanjang Ramadan.

“Majlis ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara masyarakat tetapi juga memperkukuh semangat kebersamaan dalam menghayati bulan penuh rahmat ini.”

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Mufti Negeri Sabah, Ustaz Abd Razak Hamdin; Pengerusi Masjid Daerah Kecil Menumbok, Ahmad bin Zinin dan kepimpinan UMNO Bahagian Beaufort. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit