Program Dapur Kasih UMNO KK 2.0: Bantu Golongan Memerlukan Menjelang Aidilfitri

KOTA KINABALU, 27 Mac – UMNO Bahagian Kota Kinabalu meneruskan inisiatif kebajikan melalui Program Dapur Kasih UMNO KK 2.0 dengan memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan dan kali ini ia digerakkan dalam kalangan ahli jawatankuasa bahagian, Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO.

Ketuanya, Musliati Moslimin, berkata program ini bertujuan untuk menyantuni mereka yang selama ini aktif membantu masyarakat tetapi turut menghadapi cabaran ekonomi dalam kehidupan mereka sendiri.

“Selama ini, mereka hanya melihat dan menyenaraikan nama-nama individu yang perlu dibantu, sedangkan mereka juga termasuk dalam golongan yang memerlukan bantuan. Maka, kali ini, kita kongsi rezeki bersama mereka, agar mereka juga dapat menikmati persiapan Aidilfitri dengan lebih sempurna,” katanya.

Ujarnya, ini bukan sahaja meringankan beban kewangan mereka, tetapi juga sebagai penghargaan atas jasa mereka yang sentiasa berusaha membantu masyarakat di sekeliling mereka.

“Sebelum ini Program Dapur Kasih UMNO KK 1.0 telah diadakan bagi membantu golongan yang memerlukan melibatkan 20 orang penerima, di sini.”

Turut hadir dalam program ini ialah kepimpinan tertinggi bahagian yang turut serta dalam menyantuni penerima bantuan.

Menurut Musliati, program sebegini bukan sahaja memberi bantuan dari segi material, tetapi juga membangkitkan rasa kebersamaan dan kasih sayang dalam komuniti.

“Program Dapur Kasih UMNO KK 2.0 ini mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam memastikan tiada individu yang terpinggir, terutama menjelang sambutan perayaan.

“Aidilfitri bukan sekadar tentang perayaan, tetapi juga tentang berkongsi kegembiraan dengan mereka yang kurang bernasib baik. Semoga sumbangan ini membawa kegembiraan kepada penerima dan memberi keberkatan kepada semua yang terlibat,” tambahnya.

Dengan adanya inisiatif seperti ini, beliau berharap agar dapat terus memperkukuh hubungan dalam masyarakat serta memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit