PRK Ayer Kuning: BN Fokus Perkemas Gerak Kerja, Selaras Strategi

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Barisan Nasional (BN) fokus untuk memperkemaskan gerak kerja dan menyelaraskan strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada bulan hadapan.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Operasi BN pada Rabu.

“Saya telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Operasi BN untuk menghadapi PRK DUN Ayer Kuning, Tapah.

“Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Datuk Seri Saarani Mohammad dan turut dihadiri oleh pimpinan BN Negeri Perak serta pusat,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yakin bahawa dengan kesatuan dan iltizam yang kuat, BN akan terus menjadi pilihan rakyat.

“Fokus kami adalah memperkemas gerak kerja, menyelaras strategi dan memastikan jentera BN bersiap siaga sepenuhnya untuk menghadapi PRK ini dengan semangat muafakat serta keyakinan untuk menang.

“Insya-Allah, dengan kesatuan dan iltizam yang kuat, BN akan terus menjadi pilihan rakyat,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April ini.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit