PPBM Makin Terdesak Menjelang PRK Ayer Kuning – Mohamad Fadil
KUALA LUMPUR, 27 Mac – Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin menyifatkan PPBM sebagai terdesak apatah lagi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning rentetan kenyataan parti itu yang bersedia menjalin kerjasama dengan UMNO.
Kata beliau sekiranya PPBM jujur, mereka perlu membubarkan parti itu dan kembali kepada UMNO.
“Bubar PPBM jika ikhlas atau jangan keluarkan kenyataan yang retorik untuk meraih sokongan.
“Pemuda UMNO Negeri Sembilan menyokong kenyataan Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim berkenaan PPBM perlu dibubarkan dan kembali pada UMNO jika mereka benar benar ikhlas.
“Namun kami yakin bahawasanya mereka tiada keikhlasan dan hanya membuat retorik semata mata kerana PRK DUN Ayer Kuning akan dilaksanakan pada 26 April ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban itu juga mengkritik beberapa kepimpinan PPBM yang rela melakukan apa sahaja bagi memastikan kepentingan terjaga sama seperti dilakukan mereka ketika melompat parti ke PPBM.
Beliau malah menyifatkan PPBM sebagai parti yang tidak mampu bergerak solo malah bergantung kepada Pas.
“Datuk Seri Hamzah Zainudin dilihat seolah olah amat terdesak sehingga boleh mengeluarkan kenyataan yang sedemikian dan beliau sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan kuasa sama seperti yang beliau lakukan apabila rela melompat parti dengan meninggalkan UMNO semata mata mahukan kuasa.
“Juga ingin mengingatkan Ketua Bahagian PPBM Port Dickson, Che Gu yang ibarat meludah ke langit menimpa muka sendiri kerana beliau perlu sedar bahawasanya PPBM hanya menumpang Pas dalam PN dan bukan berdiri atas kaki sendiri dengan jumlah cuma 31 kerusi parlimen sahaja yang dimiliki PPBM dengan cara menumpang dan sekiranya PPBM bergerak solo tidak akan ada satu kerusi pun yang mampu PPBM menangi.
“Tidak lupa juga kepada Mohamad Hanifah Abu Bakar yang kini merupakan ketua pembangkang di Negeri Sembilan, Pemuda UMNO Negeri Sembilan menyokong kenyataan beliau yang mengatakan PPBM bukan sahaja diasaskan oleh ahli UMNO yang kecewa malahan kini ahli PKR dan ahli Pas yang kecewa juga telah berada dalam PPBM,” ujar beliau.
Terdahulu media melaporkan, PPBM bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan musuh ketatnya, UMNO demi mencapai matlamat perjuangan politik.
Hamzah berkata, tiada sebab bagi UMNO dan PPBM untuk terus berpecah jika mereka berkongsi perjuangan dan wadah politik yang sama.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang menegaskan, asas matlamat perjuangan yang sama sepatutnya membolehkan PPBM dan UMNO duduk semeja. – UMNO Online