Menjelang Aidilfitri… Puteri UMNO Kongsi Rezeki, Santuni Insan Memerlukan
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia melaksanakan inisiatif berkongsi rezeki dan menyantuni insan-insan yang memerlukan untuk persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi telah berkunjung ke Pusat Jagaan Mahmudah di Semenyih untuk menyampaikan sedikit sumbangan kepada para penghuni yang terdiri dari golongan warga emas.
“Sedih bercampur pilu melihat nasib menimpa ibu dan ayah yang ditinggalkan oleh anak-anak di Pusat Jagaan Mahmudah di Semenyih. Hati bercampur hiba apabila mendengar rintihan dan perkongsian mereka yang merindui anak-anak saban hari.
“Tersentap hati apabila ada yang bersuara seorang ibu mampu membesarkan lima orang anak… tetapi anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu.
“Pergerakan Puteri UMNO Malaysia melalui Biro Kebajikan Puteri UMNO telah turun menyantuni dan berkongsi rezeki untuk persiapan raya untuk penghuni Pusat Jagaan Mahmudah Semenyih agar dapat mengukir sedikit senyuman buat mereka,” katanya.
Sementara itu, beliau turut ke Bangi untuk menyantuni anak-anak yatim dan menyampaikan sumbangan berupa baju raya.
“Selepas Program Kasih Ramadan di Rumah Pusat Jagaan Mahmudah, Pergerakan Puteri UMNO Malaysia terus ke Bangi untuk menyantuni anak-anak yatim di Butik Bulan Bintang bagi berkongsi rezeki kepada adik-adik memilih pakaian persiapan menyambut hari lebaran.
“Senyuman dan kegembiraan anak-anak jelas terpancar di wajah mereka. Kegembiraan mereka matlamat utama kami. Terima Kasih pemilik Bulan Bintang yang turut hadir menyantuni adik-adik semua, menambahkan lagi kegembiraan mereka,” katanya lagi.
Turut hadir, Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Shamellya Norazizi, Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Siti Nor Hasyyati Abd Rahman dan barisan exco. – UMNO Online