Harungi Ramadan Dengan Pelbagai Ujian, Sambut Syawal Bulan Kemenangan
KUALA LUMPUR, 27 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin mengajak seluruh umat Islam memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana telah berjaya mengharungi Ramadhan Al-Mubarak dengan pelbagai pengisian.
Menurut beliau kehadiran Aidilfitri yang disambut dengan keluarga tersayang sudah pasti memberi makna yang cukup manis dan amat besar kepada semua di samping berdoa agar segala amal dan sebagainya diterima Allah SWT.
“Kedatangan Aidilfitri nanti merupakan hari kemenangan kepada umat Islam selepas sebulan melalui bulan Ramadan dan ruang yang ada perlu disahut dengan sebaiknya dalam usaha mengeratkan tali silaturahim dan ukhuwah kekeluargaan antara satu sama lain.
“Syabas dan tahniah kepada seluruh umat Islam yang berjaya harungi Ramadan, dan Syawal seluruh umat Islam meraikan bulan kemenangan. Kedatangan bulan Syawal yang merupakan bulan kemenangan umat Islam adalah sesuatu yang amat-amat dinantikan. Mudah-mudahan kita melalui bulan Ramadan yang sebulan lalu dengan nilai ketakwaan yang tinggi. Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin,” katanya kepada UMNO-Online.
Beliau seterusnya mengingatkan agar mereka yang memerlukan serta golongan yang tidak bernasib baik dan sebagainya lagi tidak sama sekali dilupakan ketika menyambut kedatangan syawal nanti.
“Saya mahu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidilfitri kepada semua muslimin dan muslimat yang berada di tanah air dan juga di luar negara khususnya kepada warga UMNO di seluruh negara.
“Tidak dilupakan juga kepada warga perantau yang akan pulang ke destinasi masing-masing. Berhati-hati di jalan raya dan moga-moga kita semua sentiasa di bawah lindungan Allah SWT, insya-Allah, “ujarnya. – UMNO Online