Program ‘Tak Banyak Alasan’: UMNO Putrajaya Agih 7,500 Pek Makanan Berbuka Sepanjang Ramadan
PUTRAJAYA, 25 Mac – UMNO Bahagian Putrajaya terus komited melaksanakan gerak kerja demi kesinambungan perjuangan parti dalam apa-apa juga keadaan.
Ketua Penerangannya, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan berkata, sepanjang bulan Ramadan ini, gerak kerja bagi bahagian terbabit giat menjalankan aktiviti kebajikan untuk membantu masyarakat setempat yang memerlukan.
“Salah satu inisiatif utama yang sentiasa diteruskan ialah program agihan sumbangan keperluan harian kepada rakyat. Program ini, yang dikenali sebagai ‘Tak Banyak Alasan’, merupakan usaha berterusan UMNO Putrajaya dalam memastikan kebajikan rakyat terus terjaga, terutamanya golongan yang kurang berkemampuan,” katanya kepada UMNO Online.
Sebagai sebahagian daripada usaha tersebut maklumnya, sebanyak 7,500 pek makanan telah diagihkan ke semua masjid, surau, balai bomba, hospital, Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (Puspanas), balai polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Putrajaya.
“Inisiatif ini bertujuan memastikan lebih ramai individu mendapat manfaat, terutama sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.”
Menurut Tengku Muhammed Hafiz yang juga Exco Pergerakan Muda UMNO Malaysia, agihan sumbangan ini mencerminkan keprihatinan UMNO terhadap kebajikan masyarakat, lebih-lebih lagi dalam suasana Ramadan yang menuntut keinsafan dan kesederhanaan.
“Kami percaya bahawa usaha ini bukan sekadar membantu meringankan beban mereka yang memerlukan, tetapi juga sebagai satu bentuk solidariti dalam mengeratkan hubungan sesama masyarakat.
“Ramadan adalah bulan penuh keberkatan, dan kita harus mengambil peluang ini untuk terus berbakti kepada rakyat tanpa banyak alasan,” katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa tajaan makanan berbuka puasa yang diilhamkan oleh Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya dilaksana secara bergilir melihatkan surau-surau di sekitar kawasan terbabit.
“Perjuangan UMNO tidak terbatas kepada aspek politik semata-mata, tetapi turut merangkumi kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Oleh itu, gerak kerja seperti ini akan diteruskan bukan sahaja sepanjang bulan Ramadan, malah pada masa-masa akan datang, insya-Allah.
“Sebagai sebuah parti yang berpegang teguh pada perjuangan membela rakyat, UMNO akan terus melaksanakan program-program membela rakyat secara konsisten. Kami juga mengalu-alukan penyertaan semua pihak yang ingin bersama-sama menggerakkan inisiatif ini agar lebih ramai yang dapat dibantu,” tambahnya.
Dengan pelbagai usaha yang dijalankan, beliau yakin bahawa komitmen yang tinggi dalam UMNO akan mengembalikan kekuatan dan mengekalkan kesinambungan perjuangan parti kekal relevan dan kukuh. – UMNO Online