Sebarang Kerjasama Dalam UMNO Dirujuk MKT, Kerajaan Perpaduan Terus Diperkukuh – Mohd Sharkar
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Sebarang keputusan yang akan diambil oleh parti akan dirujuk kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, tegas Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pimpinan pembangkang berhubung kerjasama dengan parti berkenaan.
Beliau seterusnya menegaskan setakat ini parti tidak berbincang tentang kerjasama dengan Bersatu mahupun Pas.
“Sebarang keputusan, kita kena rujuk pada MKT. Setakat ini, kita tidak berbincang tentang kerjasama dengan Pas dan Bersatu.
“Kita hanya maklumkan bahawa kita ingin meneruskan kerjasama yang ada dengan PH,” katanya.
Terdahulu diadakan Majlis Berbuka Puasa Ukhwah Madani bagi Parlimen Temerloh di Hotel Apsara, Temerloh malam tadi.
Majlis iftar berkenaan anjuran NGO Madani yang turut meraikan anak-anak yatim dan mereka yang lain.
Pada Iftar berkenaan, Mohd Sharkar turut merasmikan Dewan Tan Sri Sabbaruddin Chik, sebagai penghormatan kepada pemimpin berkenaan.
Sharkar seterusnya berharap hubungan sedia ada antara parti itu dengan PH terus diperkasakan hingga ke peringkat akar umbi.
“Sehingga kini hubungan dengan PH berjalan baik, tetapi kita perlu memperkemaskan lagi di semua peringkat supaya hubungan berkenaan lebih kemas,” ujarnya. – UMNO Online