PPBM Tidak Layak Bercakap Tentang Penyatuan Bangsa – Mohd Rafi
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menegaskan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak layak untuk bercakap mengenai penyatuan parti Melayu.
Beliau berkata, tindakan PPBM sebelum ini yang bergabung dengan pihak pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan Melayu-Islam (UMNO/BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) membuktikan ketidaktulusan parti tersebut dalam usaha penyatuan.
Menurut Mohd Rafi, sekiranya PPBM benar-benar ikhlas mahu kembali bersatu, mereka seharusnya membubarkan parti dan memohon untuk masuk semula ke dalam UMNO melalui peringkat cawangan, sebagaimana ahli-ahli lain yang kekal setia sejak awal.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan turut mengimbau kembali insiden dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada tahun 2020 apabila pada awal rundingan, PPBM berjanji bahawa tidak akan berlaku sebarang pertembungan kerusi dengan UMNO.
Namun begitu katanya, PPBM kemudiannya menghantar calon bebas secara sulit di kerusi yang ditandingi UMNO, menyebabkan perpecahan undi dan ketegangan dalam gabungan.
“Perkara ini adalah satu pengkhianatan secara terang-terangan terhadap semangat kerjasama antara parti-parti Melayu-Islam.
Mengulas mengenai kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan selepas PRU-15, Mohd Rafi menegaskan bahawa penyertaan UMNO dalam gabungan itu dibuat atas titah Yang di-Pertuan Agong demi kestabilan dan kemakmuran negara.
“Dalam kerajaan hari ini, UMNO telah menetapkan 10 syarat asas untuk bergabung, termasuk memastikan kedudukan Islam dan hak-hak Melayu terus dipertahankan.”
Beliau juga menyatakan bahawa pemimpin UMNO dalam Kabinet sentiasa bersuara dalam isu-isu sensitif, termasuklah Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri.
“Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri telah mengambil langkah proaktif dalam memperkasa institusi agama Islam dan Melayu, termasuk melalui inisiatif Dasar Tahfiz Negara 2.0 serta pengukuhan pendidikan TVET bagi meningkatkan kemahiran golongan muda.
“UMNO sentiasa komited untuk mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negara. Oleh itu, PPBM seharusnya berhenti daripada bercakap tentang penyatuan jika mereka sendiri pernah mengkhianati perjuangan ini,” tegasnya lagi.
Terdahulu media melaporkan, PPBM bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan musuh ketatnya, UMNO demi mencapai matlamat perjuangan politik. – UMNO Online