Ketua Menteri Melaka Raikan PDRM Sempena Hari Polis Ke-218 Dalam Majlis Iftar

Melaka, 26 Mac – Majlis Iftar Ramadan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Melaka yang diadakan sempena sambutan Hari Polis Ke-218 berlangsung dengan penuh kemeriahan di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, semalam.

Majlis tersebut dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang menzahirkan penghargaan kepada PDRM atas khidmat bakti dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat, khususnya di Negeri Melaka.

“Iftar ini bukan sekadar mengeratkan hubungan antara kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka dan warga PDRM, tetapi juga membuktikan kesepaduan bersama anggota keselamatan dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Azhar Arshad; Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri; serta Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar.

Ab Rauf turut menegaskan bahawa hubungan erat antara masyarakat dan pasukan keselamatan amat penting bagi menjamin kesejahteraan negara.

Beliau juga menyeru agar rakyat terus menghargai peranan PDRM dalam menjaga keselamatan negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit