Wanita UMNO Sabah Raikan Asnaf Dalam Program ‘Raya Kasih, Rezeki Dikongsi’
KOTA KINABALU, 25 Mac – Wanita UMNO Sabah terus komited dalam usaha membantu golongan yang memerlukan dengan menganjurkan program ‘Raya Kasih, Rezeki Dikongsi’ yang bertujuan meringankan beban kanak-kanak asnaf dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris berkata, program ini menyasarkan kanak-kanak dari golongan asnaf yang diberikan sumbangan sebanyak RM200 seorang bagi membeli kelengkapan pakaian Hari Raya.
Ujarnya, program ini akan dilaksanakan di seluruh Bahagian Wanita UMNO di Sabah sebagai satu inisiatif untuk memastikan kanak-kanak kurang berkemampuan dapat menikmati sambutan Aidilfitri dengan lebih ceria.
“Program ini dimulakan di Zon 2 pada 21 Mac yang melibatkan empat bahagian terdekat iaitu bahagian Penampang, Kota Kinabalu, Putatan dan Sepanggar iaitu kanak-kanak ini menerima sumbangan sebanyak RM200 untuk ‘Shopping Raya’ dari program ini dengan membeli kelengkapan tersebut di Servay KK Plaza,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.
Menurut Noraini, Wanita UMNO Sabah berharap agar program ini dapat memberikan sedikit kegembiraan kepada kanak-kanak asnaf dalam membuat persiapan Hari Raya mereka.
“Kami ingin memastikan mereka turut merasai kemeriahan Aidilfitri dan tidak berasa tersisih. Program ini juga merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk menyantuni rakyat, khususnya mereka yang memerlukan bantuan,” katanya.
Program ini turut disertai oleh beberapa pemimpin wanita UMNO Sabah, antaranya Naib Ketua Wanita UMNO Sabah, Chaya Sulaiman; Setiausaha Wanita UMNO Sabah, Rosnah Abdullah serta Ketua-ketua Wanita Bahagian.
Turut hadir memberi sokongan ialah Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said.
Dengan adanya program seperti ini, Wanita UMNO Sabah berharap dapat terus memainkan peranan aktif dalam membantu masyarakat yang kurang berkemampuan serta menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan menjelang perayaan Aidilfitri. – UMNO Online