UMNO Sudah Cukup Terluka Dengan PPBM, Kini Sudah ‘Move On’ – Gulam Muszaffar
KUALA LUMPUR, 25 Mac – Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim menyifatkan PPBM sebagai parti yang diibarat seperti pokok duit-duit yang menjalar demi kepentingan dan manfaat sendiri.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu berkata ini kerana parti itu sinonim dengan strategi menunggang rakan politik sebagai strategi mereka untuk survival.
“Nasihat saya ahli-ahli UMNO kita jangan mudah terbeli dengan ‘jualan murah’ dari Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Produk jualan mereka sudah lapuk, basi dan sedang tunggu masa untuk dibuang.
“Adakah kita sebagai ahli UMNO ingin percaya kepada seorang operator politik yang penuh dengan muslihat? Adakah kita bersedia untuk dipatuk oleh ular yang sama dilubang yang sama untuk kali kedua?
“PPBM yang saya ibarat seperti pokok duit-duit yang akan menjalar dan berpaut di pokok-pokok besar untuk hidup dan dalam waktu yang sama secara diam merosakkan pokok yang ditumpang. Strategi menunggang rakan politik adalah strategi mereka untuk terus survival,” katanya menerusi satu kenyataan.
Katanya, sekiranya kepimpinan parti menerima PPBM untuk bekerjasama, ia ibarat membunuh UMNO secara diam kerana membuka pintu kepada musuh.
Menurut Gulam Muszaffar ini kerana keikhlasan PPBM amat dicurigai dan boleh dipersoalkan berdasarkan kerjasama yang dijalin sebelum ini.
“Semasa PRU14 tumpang PH, PRU15 tumpang PAS dan kini untuk PRU16 berhasrat untuk tumpang UMNO. PPBM sanggup curi ayam untuk menjaringkan gol walaupun tahu ianya tidak bermoral.
“Niat dan objektik PPBM ialah telunjuk lurus, kelingking berkait. Mereka pernah menikam PH, Tun M dan UMNO sebelum ini dan tidak mustahil menikam UMNO buat kali kedua.
“Oleh itu hati-hati dengan permainan licik oleh seorang sang operator politik yang bernama Hamzah Zainuddin. UMNO sudah cukup terluka dengan PPBM dan kini sudah “move on” dengan halatuju politiknya sendiri,” ujar beliau.
Terdahulu Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu podcast menyatakan PPBM bersedia untuk bekerjasama dengan UMNO yang kononnya menjual demi kesatuan Melayu. – UMNO Online