UMNO Bukan Parti Pelupa, Kami Berprinsip – Mohd Zulfadli

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu, Mohd Zulfadli Amiruddin menegaskan bahawa UMNO bukanlah sebuah parti yang pelupa dan berpegang teguh kepada prinsip.

Ini kerana katanya, segala pengkhianatan, manipulasi politik dan serangan yang telah dilakukan oleh PPBM terhadap UMNO selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tidak akan dapat dilupakan begitu sahaja.

“Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu memandang serius kenyataan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menyatakan kesediaan untuk kembali bekerjasama dengan UMNO.

“Ingin ditegaskan di sini – UMNO bukan parti pelupa. Kami parti berprinsip. Pengkhianatan, manipulasi politik dan serangan terhadap UMNO selepas PRU ke-14 tidak akan hilang begitu sahaja hanya dengan kenyataan lunak hari ini.

“Luka yang ditinggalkan bukan sekadar terpalit pada pimpinan, tetapi kepada seluruh akar umbi dan penyokong setia,” katanya menerusi satu kenyataan.

Ujarnya, perpaduan mestilah berpaksikan kepada kejujuran, bukannya kerana terdesak akibat kuasa politik kian merosot.

“Namun, kami juga bukan parti yang menutup pintu perpaduan secara membuta tuli. Tetapi perpaduan mestilah berpaksikan kejujuran, keinsafan dan keikhlasan, bukan kerana terdesak, kehilangan sokongan atau kuasa politik kian merosot.

“Fokus kami sekarang bukan untuk melayan sentimen politik sempit yang berputar pada paksi yang sama. UMNO kini sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan yang sah, stabil dan sedang bekerja keras membina semula negara.

“Inilah kerjasama sebenar – antara parti yang bersetuju untuk berbeza, tetapi tetap bersatu demi kestabilan, pembangunan dan masa depan rakyat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan sekali lagi bahawa tiada sebarang keperluan untuk UMNO berpaut kepada mana-mana pihak yang pernah mengkhianati dan ‘tikam belakang’.

“Pemuda UMNO Bahagian Batu menegaskan pendirian bahawa tiada sebarang keperluan untuk UMNO kembali berpaut kepada mana-mana pihak yang pernah menikam dari belakang. Kami percaya bahawa kekuatan hari ini lahir dari keberanian belajar daripada sejarah dan kesungguhan membina masa depan.

“Kepada yang datang membawa salam kerjasama – jangan hanya tahu berbisik ketika terdesak. Buktikan dahulu bahawa anda benar-benar insaf dan berprinsip, bukan sekadar mahu hidup semula atas bahu orang lain,” katanya lagi.

Terdahulu media melaporkan, PPBM bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan musuh ketatnya, UMNO demi mencapai matlamat perjuangan politik.

Hamzah berkata, tiada sebab bagi UMNO dan PPBM untuk terus berpecah jika mereka berkongsi perjuangan dan wadah politik yang sama.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang menegaskan, asas matlamat perjuangan yang sama sepatutnya membolehkan Bersatu dan UMNO duduk semeja. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit