UMNO Bahagian Machang Sumbang Zakat Untuk Ringankan Beban Pelajar – Ahmad Jazlan
MACHANG, 25 Mac – UMNO Bahagian Machang terus menyalurkan sumbangan zakat kepada pelajar yang memerlukan bagi membantu mereka terutamanya dalam aspek keperluan asas pembelajaran.
Ketuanya, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, tanggungjawab sosial ini adalah bagi memastikan pelajar mendapat sokongan sewajarnya serta dapat meringankan beban yang ditanggung oleh ibu bapa mereka.
Ujarnya, ini menunjukkan komitmennya dalam usaha membantu golongan pelajar yang memerlukan dengan penyampaian zakat kira-kira 1,200 orang pelajar tingkatan lima dan enam.
“Kita telah menyempurnakan penyampaian sumbangan zakat kepada kira-kira 1,200 orang pelajar tingkatan lima dan enam dalam satu majlis yang penuh bermakna. Majlis ini dilaksanakan dalam tiga siri bermula pada 16 Mac, diikuti 22 Mac dan berakhir pada 23 Mac 2025 lalu.
“Inisiatif sebegini telah bermula sejak tahun 2012 lagi. Ia jelas terbukti menunjukkan komitmen berterusan UMNO Bahagian Machang dalam membantu golongan pelajar yang amat memerlukan.
“Golongan pelajar merupakan aset berharga negara. Mereka bukan sahaja harapan keluarga, malah bakal pewaris kepimpinan masa hadapan,” katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Machang, Wan Mohd Adnan Wan Aziz; Naib Ketua UMNO, Mohd Faakruddin Ismail; Pemangku Ketua Wanita, Syamsuriani Ismail; Ketua Pemuda, Datuk Mohd Sharizal Semsuddin; Ketua Puteri, Nurul Hasliana Hamsani; kepimpinan bahagian, akar umbi parti serta penduduk Machang.
Beliau yang juga Pengerusi UMNO Bahagian Negeri Kelantan menjelaskan, tanggungjawab ini bagi memastikan pelajar mendapat sokongan sewajarnya adalah usaha bersama yang perlu dipikul oleh semua pihak.
“Ia menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan mereka mendapat sokongan sewajarnya, khususnya dari segi keperluan asas pembelajaran.
“Sumbangan zakat ini diharapkan dapat meringankan beban kewangan pelajar dalam menyediakan kelengkapan pelajaran, malah turut boleh dimanfaatkan bagi persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang,” jelasnya. – UMNO Online