PRK: UMNO/BN Mampu Kekalkan DUN Ayer Kuning – Penganalisis
KUALA LUMPUR, 25 Mac – UMNO/Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini, kata Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan.
Ujarnya, para jentera perlu bekerja dengan kuat terutamanya untuk menepis dan memberi penerangan mengenai sentimen yang bakal dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN) pada PRK tersebut.
“Tidak syak lagi UMNO/BN mampu mengekalkan kerusi DUN Ayer Kuning. Kalau kita lihat strategi pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO, mereka cuba memberi persepsi agar kita (jentera) perlu bekerja kuat kerana PN mungkin melakukan kejutan di sini.
“Kenapa ia berlaku? Ini keranaAyer Kuning adalah kawasan UMNO buat sekian lama. Tetapi masalahnya dahulu UMNO/BN. Tapi sekarang UMNO/BN dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk Dap.
“Isu ini dianggap sebagai isu nasional yang perlu diterangkan kepada masyarakat setempat untuk memberi satu suntikan semangat kepada penyokong-penyokong UMNO/BN supaya keluar mengundi,” katanya kepada UMNO Online.
Di samping itu, Azmi turut berpandangan bahawa adalah penting untuk menggerakkan penyokong PH keluar mengundi bagi memberikan sokongan kepada calon UMNO/BN.
“Kedua, adalah penting untuk memikirkan cara bagaimana kita dapat menggerakkan para penyokong PH supaya mengundi calon UMNO/BN. Inilah yang dikatakan cabaran kerana PN akan melihat jumlah majoriti dimenangi.
“Jika jumlah majoriti kurang daripada yang dimenangi sebelum ini, maka PN boleh mendabik dada dan mengatakan bahawa penyokong PH mahupun UMNO/BN tidak keluar mengundi kerana kerjasama dibentuk,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau sekali lagi menegaskan bahawa jumlah majoriti kemenangan UMNO/BN pada PRK Ayer Kuning ini akan menjadi penanda aras.
“Kemenangan itu dikatakan kita agak pasti, tetapi perlu bekerja keras. Apa yang paling penting adalah jumlah majoriti. Ianya tidak boleh kurang daripada yang diperolehi sebelum ini dan mesti melebihi.
“Kalau dicampur dengan penyokong PH, mesti menyamai jumlah majoriti tersebut. Jadi, itu yang dikatakan ‘benchmark’ tentang kemenangan UMNO/BN di PRK Ayer Kuning ini,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman