Ahmad Zahid Ucap Selamat Menyambut Hari Polis ke-218
KUALA LUMPUR, 25 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengucapkan selamat menyambut Hari Polis ke-218 kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau menyatakan bahawa institusi keselamatan ini sentiasa dekat di hatinya, membawa bersama kenangan dan pengalaman berharga semasa beliau berkhidmat sebagai Menteri Dalam Negeri.
Sepanjang tempoh itu, beliau semakin menghargai dedikasi serta pengorbanan anggota PDRM dalam memastikan keamanan negara terpelihara.
“Setiap anggota PDRM menggalas tanggungjawab yang bukan sahaja dilihat sebagai suatu profesion, tetapi amanah besar yang menuntut keberanian, dedikasi, dan keikhlasan,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya.
Beliau turut menekankan kepentingan hubungan erat antara pasukan polis dan masyarakat, kerana keselamatan negara bukan hanya terletak di bahu pasukan keselamatan, tetapi juga merupakan tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia.
Dalam ucapan penghargaan tersebut, beliau berharap agar PDRM terus teguh dan bersemangat dalam meneruskan khidmat bakti demi kedaulatan serta kesejahteraan tanah air.
Mengakhiri kenyataannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menyampaikan salam Ramadan kepada seluruh warga PDRM dan keluarga mereka, serta mengulangi mesej penting bahawa “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada.” – UMNO Online