Puteri UMNO Kukuhkan Ukhwah, Program Khatam Al-Quran Jadi Agenda Tahunan – Nurul Amal
KUALA LUMPUR, 24 Mac – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia terus memperkukuhkan agenda dakwahnya dengan menjadikan Program Khatam Al-Quran sebagai acara tahunan sepanjang bulan Ramadan.
Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menegaskan bahawa program ini bukan sekadar majlis keagamaan, tetapi juga platform menyatukan wanita muda dalam usaha memperkukuh jati diri Islam dan mengenali perjuangan Puteri UMNO.
“Program ini dipimpin oleh Pengerusi Biro Agama dan Dakwah Puteri UMNO, Firza Syafiqa Muhamad Puzi. Kami ingin melihat lebih ramai wanita muda menyertai program ini kerana ia bukan sahaja tentang membaca Al-Quran, tetapi juga satu bentuk dakwah yang mendekatkan masyarakat dengan Puteri UMNO.
“Kami harapkan lebih ramai penglibatan wanita muda dalam program khatam Al-Quran bersama-sama dengan Puteri UMNO. Kita lakukan atas ‘mudah dakwah’ kerana hendak menarik golongan luar bersama-sama dengan Puteri UMNO Malaysia.
“Tahun lepas ramai golongan yang bukan terlibat dalam politik bergabung dengan Puteri UMNO menerusi program khatam Al-Quran. Daripada situ golongan tersebut mengetahui serta mengenali Pergerakan Puteri UMNO dan ada juga yang telah mendaftar sebagai ahli. Setiap program yang dilakukan mesti akan membawa kebaikan kepada pergerakan ini,” katanya.
Tambah Nurul Amal, Pergerakan Puteri UMNO telah kolaborasi dengan ‘Empowering Young Muslimah’ dan berjaya menambat hati dengan kehadiran wanita muda.
“Puteri UMNO telah ‘collaborate’ bersama-sama dengan ‘Empowering Young Muslimah’ telah mengumpulkan lebih 800 wanita muda datang mendengar tazkirah serta perkongsian daripada ustazah-ustazah yang dijemput.
“Setiap program yang diadakan Puteri UMNO mendapat sambutan hangat dan juga tidak ketinggalan menarik penyertaan ahli baharu dalam parti,” katanya lagi.
Ujarnya, kejayaan ini membuktikan bahawa golongan muda semakin berminat untuk melibatkan diri dalam politik dan memperjuangkan agenda parti demi kepentingan rakyat. – UMNO Online