PRK: BN Tawar Penyelesaian, Bukan Retorik Kosong Seperti Pembangkang

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin meluahkan keyakinan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) PRK Ayer Kuning untuk UMNO/Barisan Nasional (BN) mengekalkan penguasaan di kerusi tersebut.

Menurut beliau ini kerana rakyat telah melihat komitmen diberikan BN dalam memperkasa agenda rakyat di bawah Kerajaan Perpaduan yang juga diaplikasi di Negeri Sembilan.

“BN yakin rakyat di Ayer Kuning akan terus memberikan kepercayaan kepada calon BN dalam PRK kali ini kerana mereka melihat sendiri bagaimana BN komited dalam membawa kestabilan dan kemajuan yang nyata, bukan sekadar slogan kosong.

“Di Negeri Sembilan, kejayaan demi kejayaan telah terbukti dibawah gabungan BN/PH Ekonomi negeri berkembang pesat dengan pelaburan berkualiti tinggi, pembangunan infrastruktur terus diperkasa, dan kebajikan rakyat diberi keutamaan.

“Inilah bukti kepimpinan yang bertanggungjawab dan berkesan. Sebagai contoh, yang terkini Kerajaan Negeri Sembilan sedang giat memperkasa industri penternakan bagi meningkatkan kadar sara diri (SSR) daging tempatan, termasuk pembangunan ladang tenusu bersepadu menggunakan teknologi termaju dunia di Gemas dan pelan peningkatan usahawan tani serta generasi muda dalam bidang pertanian,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mohamad Fadil yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban dalam pada itu berkata ia berbeza dengan Perikatan Nasional (PN) yang lebih gemar bermain sentimen dan retorik tanpa sebarang pelan konkrit untuk pembangunan rakyat.

Katanya perkara tersebut seringkali dapat dilihat melalui pendekatan politik dilakukan pemimipin pembangkang sebelum ini.

“Sebagaimana yang kita dengar dan lihat baru baru ini apabila salah seorang Menteri Besar dari PN hanya pandai memikirkan cara bagaimana untuk menghina serta mencaci parti lawan ketika berkempen di PRK Ayer Kuning tanpa ada perancangan yang jelas buat masyarakat Ayer Kuning.

“Begitu juga di Negeri Sembilan, pembangkang (PN) Negeri Sembilan hanya sibuk mencari salah wakil rakyat dan tidak menyediakan pelan pembangunan masyarakat yang baik kepada kawasan yang mereka wakili.

“Rakyat kini sudah semakin bijak dan tidak mahu percaturan politik tanpa hala tuju, yang mereka mahukan sebuah kerajaan yang kukuh serta mempunyai halatuju yang jelas seperti yang BN bawa ke Ayer Kuning solusi yang jelas, pengalaman yang terbukti dan kestabilan yang terjamin.

“Justeru, Pemuda UMNO Negeri Sembilan menyeru pengundi di Ayer Kuning agar membuat pilihan yang tepat. Undilah BN, demi kesinambungan kestabilan dan kemajuan negeri serta negara,” ujar beliau.

PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018, memenangi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memperoleh majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh bagi penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning pada 12 April depan, diikuti undi awal pada 22 April, manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 26 April membabitkan 31,897 pengundi berdaftar. UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit