PRK Ayer Kuning: Perpaduan BN Jadi Kelebihan Utama – Mohammad Sollehin

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Perpaduan dalam Barisan Nasional (BN) menjadi kelebihan utama untuk memastikan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, kata Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata, keyakinan BN untuk meraih kemenangan adalah berpaksikan kepada kepercayaan rakyat terhadap rekod pentadbiran yang konsisten.

“PRK Ayer Kuning menjadi medan penting untuk BN membuktikan komitmen terhadap kestabilan dan kemajuan. Keyakinan BN untuk meraih kemenangan berpaksikan kepercayaan rakyat terhadap rekod pentadbiran yang konsisten dan penyelesaian yang ditawarkan.

“BN bukan sekadar berkempen dengan janji, tetapi membentangkan langkah-langkah konkrit untuk memastikan pembangunan berterusan di kawasan ini.

“Keutamaan diberikan kepada isu-isu yang dekat dengan rakyat seperti pembangunan infrastruktur, peluang ekonomi dan kesejahteraan sosial. Semua ini memerlukan kestabilan politik sebagai asas kukuh,” katanya.

Menurutnya, mesej yang dibawakan oleh BN pada PRK ini adalah menyelesaikan masalah dengan tindakan nyata dan tidak beretorik semata-mata.

“Dalam kempen ini, BN menonjolkan pendekatan yang praktikal dan berpandukan fakta. Oleh itu, mesej utama BN pada PRK ini adalah menyelesaikan masalah dengan tindakan nyata, bukan retorik semata-mata.

“Pendekatan secara turun padang, pertemuan dengan masyarakat dan komunikasi berterusan di pelbagai platform digunakan untuk memastikan pengundi mendapat maklumat tepat mengenai visi BN,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menzahirkan keyakinan bahawa rakyat akan terus memberikan kepercayaan kepada BN untuk kestabilan dan kemajuan yang berterusan.

“Perpaduan dalam BN juga menjadi kelebihan utama dalam memastikan kemenangan di Ayer Kuning. Kekuatan jentera yang tersusun dan kerjasama erat antara kepimpinan serta ahli parti membolehkan kempen berjalan lancar.

“Dengan strategi yang teratur dan fokus kepada penyelesaian, BN yakin rakyat akan terus memberi kepercayaan demi kestabilan dan kemajuan yang berterusan,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April ini.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit